FASA 1 – PEMBANGUNAN KAPASITI & PENGUKUHAN DASAR
PERHEBAT komited memperkukuh kapasiti organisasi dan dasar strategik bagi memastikan keberkesanan program latihan dalam memajukan sosioekonomi veteran ATM. Usaha ini merangkumi peningkatan kemahiran, pengetahuan dan daya saing melalui pelaksanaan program TVET moden serta keusahawanan mampan yang menepati keperluan semasa industri.
Melalui Pelan Transformasi PERHEBAT, dasar strategik diperkukuh agar sejajar dengan hala tuju kerajaan serta perubahan ekonomi dan teknologi global. Inisiatif ini bertujuan melahirkan veteran ATM yang bersedia menghadapi pasaran kerjaya kedua dengan kompetensi tinggi, etika profesional dan nilai daya tahan.
Kerjasama bersama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sektor swasta memperkukuh ekosistem latihan yang inklusif dan berimpak tinggi, termasuk pelaksanaan Program Work-Based Learning (WBL) bersama Kementerian Pertahanan Malaysia bagi pengiktirafan kemahiran dan kepakaran anggota sewaktu dalam perkhidmatan.
Penggunaan teknologi digital dan pembangunan sistem sokongan bersepadu turut dipertingkat bagi memastikan veteran menerima latihan relevan serta bimbingan berterusan pasca latihan ke arah kejayaan peralihan kerjaya.
MODEL PELAKSANAAN PROGRAM TRANSFORMASI PERHEBAT (FASA 1)
Melalui pendekatan berperingkat ini, PERHEBAT berhasrat membantu veteran ATM memiliki sumber pendapatan yang mampan dan berterusan, sekaligus memperkasa mereka menjalani kehidupan selepas persaraan dengan penuh keyakinan dan kesejahteraan.
Sasaran pendapatan tambahan RM 2,200 sebulan yang ditetapkan menjadi indikator keberhasilan bagi memastikan veteran tidak hanya bersara dengan selesa tetapi juga berdaya saing dalam pasaran pekerjaan moden.
Model pelaksanaan ini merupakan satu usaha terancang dan menyeluruh demi memperkukuh peralihan kerjaya kedua bagi veteran ATM, sekaligus memastikan mereka terus menjadi aset berharga kepada negara secara berterusan























